Friday, May 25, 2012

Membawa Generasi Muda Beribadah Di Tanah Suci


MAKKAH - Baru-baru ini penulis berpeluang berkunjung ke Masjidil Haram, di Tanah Suci Makkah.

Keadaan di Masjidil Haram penuh dengan umat Islam dan pengunjung dari seluruh dunia. Dalam kalangan mereka terdapat ramai kanak-kanak yang mengikut ibu bapa mereka melakukan ibadah di masjid dan tawaf mengelilingi Kaabah.

Semasa berbual-bual dengan ibu bapa ini, sesetengah mereka berkata mereka membawa anak-anak kecil untuk mendedahkan anak-anak dengan ibadah di Tanah Suci, termasuk mengerjakan Umrah yang dituntut Islam.

UMRAH
"Saya bawa anak lelaki saya yang berumur lapan tahun untuk melakukan Umrah buat kali kedua kerana dia sendiri yang berhasrat untuk datang lagi ke mari," kata warga Malaysia yang berasal dari Kuching, Sarawak yang hanya mahu dikenali sebagai Budiman, semasa penulis menemui beliau di ruang solat Masjidil Haram.

Setelah menunaikan Haji bersama isteri dua tahun lepas, anak lelakinya itu meminta beliau membawanya ke Makkah semula.

"Kali ini saya turut membawa adik perempuannya yang berumur 6 tahun," kata Budiman.

Budiman dan isteri serta dua orang anak yang ditemani seorang saudara perempuan, baru tiba di Makkah ketika ditemui, dan mereka dijadual ke Madinah pula setelah lebih seminggu berada di kota suci Makkah.

PEMBIAYAAN KOS

Pelbagai pakej mengerjakan ibadah Umrah ditawarkan oleh beberapa syarikat pelacongan di Malaysia termasuk Harmoni, Andalusia dan anak syarikat Tabung Haji sendiri, TH Travel & Services.

Kos untuk seorang dewasa bagi pakej Umrah ialah kira-kira RM5,000.

"Kami bayar hampir RM5,500 seorang untuk 12 hari tetapi untuk anak-anak hanya RM4,800 seorang," kata Budiman.

Bila ditanya mengapa anak-anaknya yang masih kecil dibawa ke Tanah Suci, Budiman berkata beliau mahu mendedahkan anak-anaknya kepada tanggungjawab yang dituntut Islam, pada usia muda, di Tanah Suci.

"Terlalu banyak gejala yang boleh merosakkan aqidah di luar sana dan di sekeliling kita. Saya mahu anak-anak saya mengetahui tentang pentingnya agama Islam di dalam kehidupan dan pendedahan ibadah pada usia semuda mereka, sangat perlu malah menjadi keutamaan buat saya," jelas beliau.

AGAMA
Rahmisafa Hamid bersetuju bahawa ibadah Haji atau perjalanan ke Tanah Suci patut digalakkan kepada anak-anak muda atau generasi belia masa kini.

"Ibu bapa saya telah membawa saya untuk menunaikan fardu Haji ketika berusia 19 tahun. Saya bersyukur kerana berpeluang menjadi tetamu Allah semuda itu," kata Rahmisafa, yang kini berumur dalam lingkungan 30an.

Selepas itu, Rahmisafa berpeluang mengerjakan Umrah tiga kali dengan arwah bapanya, yang terakhir pada tahun 2008.

Kakitangan kerajaan Abdul Rahman Ahmad ialah seorang lagi haji yang telah membawa anak-anaknya ke Tanah Suci lebih 10 tahun lalu, ketika mereka berusia enam dan lapan tahun.

Penulis sendiri menjadi seorang daripada jemaah haji Malaysia, mengunjungi dan menunaikan ibadah di Tanah Suci, ketika berusia 19 tahun.

Realitinya, menunaikan ibadah Haji pada usia muda lebih mudah kerana tenaga dan kudrat yang lebih kuat untuk menempuhi dan melaksanakan ibadah yang memerlukan tenaga fizikal, kesabaran dan ketahanan.

PETUGAS DI ARAB SAUDI

Seorang daripada ekspatriat Malaysia yang ditemui penulis di Masjidil Haram ialah 'Wan', bapa berusia dalam lingkungan awal 30an. Wan baru saja memulakan tugas di Riyadh, Arab Saudi tahun ini.

"Saya bawa anak-anak berumur enam dan lapan tahun untuk melihat Kaabah selain menunaikan ibadah Umrah. Keluarga saya ini baru sampai ke Riyadh, dua minggu lepas, tapi saya dah mula bertugas lebih awal.

"Seronok kerja di sini, dapat selalu ke Makkah. Saya dapat bawa keluarga bersama," kata Wan.

Bagi ekspatriat Malaysia di Tanah Suci, kos pengangkutan mengunjungi Makah dan Madinah mampu ditampung, dan mereka mempunyai pilihan perjalanan darat dan udara.

Semasa menunaikan Umrah, penulis juga berpeluang bertemu beberapa jururawat yang bertugas di Arab Saudi.

"Kami bertugas sebagai jururawat di Dammam. Sudah lebih tiga tahun saya bertugas dan Alhamdulillah sudah beberapa kali kami berkunjung ke Makkah dan Madinah, setiap kali ada kelapangan dan masa mengizinkan," kata seorang daripada mereka, yang memanggil dirinya Maslina.

Maslina memilih bekerja di Arab Saudi untuk memudahkannya melakukan ibadah Umrah dan Haji.

Maslina dan kawan-kawannya, Nurul dan Norhamisah, turut bersetuju orang muda patut digalakkan datang ke Tanah Suci untuk menunaikan Umrah dan Haji.

HARAPAN IBU BAPA
Ibu bapa masa kini sememangnya mengidamkan membawa anak-anak mereka bersama bila melakukan kunjungan ini, terutama ke Tanah Suci.

Rohana Mustaffa, ibu kepada tiga anak lelaki, turut mengharapkan begitu.

"Kalau ada rezeki, kalau mampu, pasti ibu bapa hendak bawa anak-anak semasa kecil untuk bersama ke Tanah Suci. InsyaAllah, pendedahan ini membawa berkat. Tetapi yang afdalnya, jika kita mampu membawa seseorang untuk menunaikan Haji yang Mabrur dan Umrah yang Maqbul, biarlah mereka itu tahu hukum hakam ibadah dan faham tujuan ibadah yang dikerjakan sebagai tetamu Allah," katanya.

Aspek kerohanian dalam menunaikan ibadah Umrah dan Haji memberikan signifikan yang besar dan lebih utama daripada tenaga fizikal dan kemampuan kewangan yang diperlukan dalam menunaikan ibadah.

Aqidah seseorang itu perlu sentiasa diisi dengan kesedaran untuk memeliharanya, sebaik yang mungkin agar ia tidak tercela dan dicemari.

Agama itu perlu dijadikan cara hidup, malah ia satu cara hidup yang sebenar.

"Addin Al-Muamalah (agama itu sikap manusia)," kata seorang warga Arab Saudi, Abu Fahd yang baru mencecah usia pertengahan 20an kepada penulis.

Anak itu ibarat sehelai kain putih dan kehidupan yang dicorakkan ke atas kain putih itu ditentukan oleh pendidikan agamanya, dalam erti kata lain ibu bapa turut memainkan peranan dalam usaha ini.

-- BERNAMA
 
 

1 comment:

mama aini said...

assalam salina..mama teringin utk menjadi tetamu Allah nanti.. insyaallah.. `hb mama` je yg pergi umrah & haji..waktu itu keadaan tak mengizinkan mama..

Pertandingan Mewarna Adik & Kakak Sertai

Hari ni adik & kakak masuk pertandingan mewarna. Tapi biasalah main dengan anak-anak pra sekolah ni, mak pak plak yang kalut mewarn...