Friday, May 25, 2012

Penting Untuk Ibu Bapa Baca - Keluarga Sakinah Untuk Didik Dan Asuh Anak

KUALA LUMPUR - Hati ibu mana yang tidak resah, hati ayah mana yang tidak gundah bila anak lari dari rumah, anak ambil dadah, anak jadi mat atau minat rempit atau anak membuang anak?

Keresahan dan kegundahan ini mungkin boleh dikatakan "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna", justeru sebelum "nasi menjadi bubur", ibu bapa perlu menjadi lebih bertanggungjawab dalam mendidik anak mereka terutama menjelang usia remaja.

Supaya anak tidak menjadi kisah masyarakat atau menjadi statistik salah laku, mereka ini memerlukan asuhan dan didikan sejak usia kecil seperti peribahasa "melentur buluh biarlah dari rebung."

Bukan tidak ada peringatan atau nasihat orang tua dalam mendidik anak begitu juga ajaran serta tuntutan agama, cuma ada ibu bapa hari ini yang mungkin menjadi terlalu sibuk mencari rezeki sehingga kebajikan anak diabai.

Pengabaian seperti ini hanya mengundang musibah. Lihatlah sahaja paparan media mengenai salah laku remaja di mana ada kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah terlibat dalam kes jenayah.

Siapa yang hendak dipertanggungjawabkan? Ibu bapa? Masyarakat? Pucuk pimpinan?

DIDIK ANAK

Mungkin ada pihak yang suka menuding jari tetapi kita lazim mendengar anak dilahirkan sebagai "kain putih" dan yang bertanggungjawab membentuk corak kain itu ialah ibu bapanya.

Sehubungan itu, asas pendidikan anak tidak dapat tidak, harus bermula dari rumah.

Dalam hal ini, rumah boleh diibaratkan sebagai sekolah pertama untuk anak.

Ini turut ditegaskan Prof Dr Sidek Baba, profesor pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang lebih senang dipanggil "Cikgu Sidek."

Menurut beliau, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan memberi didikan asas kepada anak.

Katanya, proses mendidik perlu bermula dari peringkat usia kecil sebelum anak itu menjejakkan kaki ke sekolah.

Cikgu Sidek adalah juga anggota lembaga pengarah Ikim dan anggota lembaga pengarah Darul Quran Malaysia.


KELUARGA SAKINAH

Perkataan 'sakinah' (bahasa Arab) di sini dikaitkan dengan suasana tenang, aman dan penuh kasih sayang.

Membina keluarga sakinah memerlukan pasangan suami isteri yang saling faham memahami serta bertolak-ansur dan boleh menjadi sumber contoh kepada anak.

Dalam hal ini, Cikgu Sidek menjelaskan ibu bapa perlu menunjukkan teladan dan mempraktikkan segala amalan baik di depan anak.

"Suami dan isteri, masing-masing mempunyai kecenderungan, kemahuan, tabiat serta tingkah laku yang berbeza.

"Mereka perlu melalui proses kekenalan, saling mengerti dan memahami setelah berumahtangga. Ini sangat penting. Tanpa kita kenal dia, persamaan dan perbezaan, susah kita hendak hidup sama.

"Jadi kalau ada sesuatu yang baik pada suami, kita terima. Begitu juga dengan isteri.

"Yang penting bagi manusia bukan zahir, yang sangat penting ialah batinnya. Kalau semua dijadikan sempurna, tidak timbullah masalah," kata Cikgu Sidek.

BENTUK WATAK ANAK

Menurut Cikgu Sidek, suami dan isteri berperanan dalam mengasuh serta mendidik anak.

Ayah adalah ketua dalam keluarga, membina disiplin dan ketaatan anak sementara ibu pula adalah lambang kasih sayang.

Beliau berkata, ibu dari segi fitrah memiliki sifat yang unik dan penting sebagai sumber didik anak.

Ibu, katanya mempunyai elemen sabar dan menghabiskan lebih banyak masa dengan anak berbanding bapa.

"Jika kita sentuh hati anak dengan cara yang baik, anak akan jadi anak yang taat dan patuh, anak yang menghormati dan orang yang beradab.

"Ini memerlukan latihan dan kita secara tidak langsung mendidik anak kita untuk menyediakannya menjadi isteri dan suami yang baik.

"Barulah kitaran ini menepati apa yang kita mahu," kata Cikgu Sidek.

FAKTOR LAIN

Bagaimanapun, ibu bapa bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi pembentukan watak anak.

Pengaruh genetik dan persekitaran turut memainkan peranan.

"Kadang-kadang bila kita sudah berumur, kita berhadapan dengan anak yang tidak beradab. Barulah kita hendak mencari jalan, kadang-kadang sudah terlewat.

"Sebelum terjadi, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati," kata Cikgu Sidek.

Dalam hal ini, beliau mengaitkan situasi ini dengan soal makanan dan pemakanan.

Menurut beliau, Al-Quran memberikan asas yang sangat jelas mengenai soal halal dan haram kerana makanan menyumbang kepada faktor genetik dan warisan.

"Kita cari rezeki yang halal. Makanan juga, ramuannya memberi kesan pengaruh kepada genetik.

"Bila kita makan benda-benda yang haram atau syubahah (ada unsur was-was), ia akan memberikan kesan bukan sahaja kepada kita malah kepada anak pada masa akan datang.

"Ada kalanya kita beri cukup makan, beli barang permainan tetapi mengapa itu semua tidak mampu membentuk peribadi menjadikan anak kita orang yang beradab, tunduk dan hormat kepada emak dan ayah?" tambah Cikgu Sidek.

TEKANAN HIDUP

Tekanan hidup serta beban kewangan menyebabkan suami isteri terpaksa bekerja dan keadaan ini menyebabkan masa berkualiti untuk anak semakin berkurangan.

"Ada ibu bapa yang meninggalkan rumah seawal pukul 7 pagi sehingga tidak sempat hendak memberi usapan untuk anak.

"Bila balik sudah lewat petang, ibu sibuk pula hendak buat kerja, lantai tak lap, nasi belum masak, nanti bapak balik macam mana? Takkan nak selalu makan di warung," katanya.

Menurut Cikgu Sidek, situasi yang sedemikian ada kalanya boleh menjadi punca perbalahan terutama sekali apabila suami tidak mengambil kira keletihan isteri dan hanya mahukan makanan siap disediakan apabila dia pulang dari kerja.

Beliau turut menegur sikap sesetengah suami yang tidak mengendahkan keadaan emosi isteri yang sedang mengandung.

"Kadang-kadang suami tak faham. Waktu itulah dia buat gelagat, balik lewat, jadi ini menyentuh emosi ibu.

"Bagaimana ibu nak tenang? nak sakinah? Kalau gelagat bapa semacam itu?" 

Cikgu Sidek mengingatkan bahawa pembentukan watak, sikap, tabiat dan tingkah laku anak bermula dari rahim ibu lagi.

Para suami, katanya, perlu menjaga emosi isteri yang hamil dan mewujudkan suasana sakinah supaya isteri sentiasa tenang.

ELAK CERAI

Cikgu Sidek turut menasihati para suami jangan membuli dan merendah-rendahkan martabat isteri meskipun mereka ketua keluarga.

Sambil turut mengingatkan para suami bahawa isteri adalah amanah orang tuanya yang diserahkan kepada mereka, suami sepatutnya mengambil kelebihan isteri untuk melengkapkan kelemahan yang ada pada dirinya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata pasangan suami isteri perlu berusaha mengelakkan perceraian apabila berlaku perbalahan.

Suami isteri perlu menyuburkan sifat sabar, syukur dan berterima kasih dalam kehidupan mereka.

"Ini yang berlaku sekarang, berbalah dan bercerai. Ini juga yang menyebabkan kadar perceraian hari ini di kalangan orang muda yang baru berkahwin adalah luar biasa besarnya.

"Puncanya kadang-kadang tak sabar, tak bertolak ansur, tak bijaksana," kata Cikgu Sidek.

Beliau turut berpandangan "penyakit dan super ego" adalah antara punca lain yang menyebabkan berlaku banyak perceraian di kalangan masyarakat Melayu.

PERLU BIJAK

Masalah dalam keluarga tidak dapat dielak, bak kata Cikgu Sidek, "sedangkan gigi dan lidah lagi tergigit, sedangkan pinggan-mangkuk yang dicuci pun berlaga".

Cuma yang penting, suami-isteri perlu bijak menyelesaikan krisis atau konflik yang timbul.

Dalam hal ini, suami, katanya perlu pandai mengambil hati isteri.

"Ini sangat penting. Macam kita dengan ibu kita. Ibu kadang kala berkecil hati.

"Isterikan juga seorang ibu. Ambil hati dia, tak kena bayar pun. Berlembut dengan dia, jangan ada syak wasangka. Beri juga pujian.

"Dengan isteri, kita kena jujur dan jujur ini kerana Allah. Ini tahap yang kita hendak lakukan untuk memberi kesan kepada anak," pesan Cikgu Sidek.

Kepada para isteri, Cikgu Sidek berkata mereka perlu mensyukuri suami yang baik.

Isteri yang mahu menegur suami dinasihati supaya menegur dengan adab yang tinggi dan jangan sekali-kali ungkit mengungkit perkara silam.

PERLU ILMU

Dalam mendidik dan mengasuh anak, ibu bapa juga perlu mempunyai cukup ilmu kerana mereka akan menjadi sumber rujukan anak.

Anak pada peringkat awal usia adalah dalam peringkat pencarian. Dia hendak faham, dia hendak tahu dan hendak makna tentang sesuatu.

Cikgu Sidek berkata, ibu bapa yang tidak menjadi sumber dalam pendidikan dan pendewasaan anak akan menjadi akar sebab anak bermasalah.

Menurut Cikgu Sidek, anak yang bertanya sebenarnya adalah anak yang cergas dan pintar.

"Ibu bapalah yang memberi terjemahan kepada apa yang dia mahu tahu. Dari situ, ayah dan ibu sudah membina asas dan tapak.

"Sekiranya ia dibina dengan kukuh di rumah, insya-Allah apabila kita hantar mereka ke sekolah, hati dia tidak kosong, tidak lompang," jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa pengisian ilmu anak akan bersambung secara sistematik apabila mereka bersekolah.

Di sekolah juga, katanya, anak yang berjaya akan membentuk watak masing-masing dan akan tampil dalam masyarakat dengan sistem yang elok dan baik.

"Ibarat ikan di laut. Semana masin air laut, dagingnya tetap tawar," Cikgu Sidek berkias.

JIWA KOSONG

Cikgu Sidek turut mengingatkan ibu bapa supaya jangan mengabaikan anak dalam kesibukan mereka keluar bekerja.

Anak pula, katanya yang berjam-jam menunggu kepulangan ibu dan ayah akan merasa terabai bila tidak diberi perhatian.

"Dengar bunyi kereta, anak meluru ke pintu. Sungguh ceria. Emak pula kata hendak solat, hendak cuci pinggan.

"Cuba bayangkan anak ini, kita tidak peluk dia, tak berbual dengan dia dan dengar dia berceloteh.

"Tengok apa akan jadi, dia balik sambung tengok televisyen, tengok komputer, main dengan kucing. Itulah realiti yang sedang berlaku.

Anak yang begini akhirnya akan memilih jalan mereka sendiri, terdedah kepada pengaruh rakan sebaya, media cetak dan elektronik serta terputus hubungan komunikasi dengan ibu dan ayah.

Kesilapan didikan dalam keluarga seperti ini akan menyebabkan berlaku kekosongan dalam hati anak berkenaan.

"Kalau di rumah cicir, di sekolah juga cicir, dalam masyarakat pasti cicir.

Bukan sahaja mereka akan hilang jati diri tetapi hilang hala tuju," katanya.

- BERNAMA
 
 

No comments:

Pertandingan Mewarna Adik & Kakak Sertai

Hari ni adik & kakak masuk pertandingan mewarna. Tapi biasalah main dengan anak-anak pra sekolah ni, mak pak plak yang kalut mewarn...