Monday, June 11, 2012

Jangan Biarkan Kaduk Naik Junjung - RIDHUAN TEE ABDULLAH


Seseorang yang kononnya bergelar datuk amat marah dengan artikel saya, “tuntutan Dong Zong biadab”, 28 Mac lalu. Beliau mendakwa artikel saya tidak islamik, merugikan Islam. Beliau tidak putus-putus fakskan surat yang sama kepada saya untuk mendapatkan penjelasan dan bersedia berdebat dengan saya.

Apakah dengan gelaran itu sudah cukup hebat dan boleh mengarah orang lain mengikut telunjuk?

Apa pun, saya ingin menjawab persoalan yang dibangkitkan kerana ada kaitan dengan pandangan Dong Zong yang terbaharu. Ultra kiasu ini mendakwa Akta Pelajaran 1996 yang dipersetujui MCA, telah menyebabkan Sekolah Persendirian Cina (SPC) statik bilangannya kepada 60 buah sahaja. Pemimpin MCA menafikan dakwaan itu.

Sebenarnya, kerajaan terlalu banyak bertolak ansur terhadap pendidikan Cina, terutama apabila Akta Pelajaran 1996 diwujudkan, berbanding Akta Pelajaran 1961.

Malangnya, ultra kiasu masih tidak bersyukur. Ingatan saya kepada kerajaan, jangan biarkan kaduk naik junjung.

Tidak dapat dibayangkan apa akan terjadi sistem pendidikan negara ini jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah? Tidakkah ultra kiasu ini sedar bahawa peruntukan 21B Akta Pelajaran 1961 sebelum ini jauh lebih keras?

Melalui kuasa Menteri, sekolah vernakular Cina boleh ditukar menjadi sekolah kebangsaan bila-bila masa. Pada ketika itu, pemimpin ultra kiasu Melayu menjadi Menteri Pelajaran, tidak berbuat apa-apa. Sehinggalah Perdana Menteri sekarang yang menjadi Menteri Pendidikan pada 1995, baharulah peruntukan 21B dipinda menjadi lebih lunak.

Apa yang ultra kiasu ini mahukan lagi? Kenapa agenda kebangsaan langsung tidak dibincangkan, sebalik agenda bangsa terus diperkasa?

Mereka menuduh Umno memperjuangkan Melayu, apakah bangsa lain tidak memperjuangkan bangsanya, malah lebih ekstrem daripada itu?

Sebenarnya pindaan kepada Akta Pelajaran 1961 yang membawa wujudnya Akta Pelajaran 1996, memberikan signifikan amat besar kepada pendidikan Cina. Kerajaan secara langsung mengiktiraf kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dan SPC sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang bersifat kekal. Apakah ini masih tidak mencukupi?

Akta ini juga membolehkan kerajaan memberi bantuan kewangan, fiskal dan sumber perancangan kepada sistem pendidikan Cina. Untuk makluman, selepas 1996, lebih banyak sumber kewangan diperuntukkan. Pada masa itu, terdapat 78 sekolah menengah Cina yang memilih untuk mematuhi silibus dan pengajaran kerajaan dan ia menjadi SMJKC manakala 60 lagi kekal sebagai SPC. Ini tidak termasuk sejumlah 1,291 SJKC yang diterima masuk sebagai sistem pendidikan kebangsaan. Bilangan SJKC terus bertambah setiap tahun.

Lebih menguntungkan lagi Akta Pelajaran 1996 juga membenarkan SPC beroperasi dengan penuh kecinaan.

Kedudukan bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan. Berbanding Akta Pelajaran 1961, SPC perlu memohon setiap tahun bagi membolehkan mereka beroperasi. Dengan Akta Pelajaran 1996, kerajaan mengiktiraf SPC dengan mengeluarkan pendaftaran kekal kepada semua 60 SPC.

Hari ini, peruntukan sudah hampir menjadi sama rata seperti aliran kebangsaan. Itu pun mereka masih terus mendesak supaya SJKC dan SPC beroperasi dengan penuh kecinaan.

Ingatan saya kepada kerajaan dengarlah nasihat pakar, bukannya ultra kiasu yang ada agenda tersembunyi. Menurut Mohd Yazid Yusoff etal (2002), Akta Pelajaran 1996, ternyata memberi ruang yang begitu luas kepada pendidikan vernakular. Akta Pendidikan 1996 mengambil kira kepentingan semua kaum dengan cara mengekalkan status quo SJKC, SMJKC dan 60 buah SPC.

Selain itu, secara langsung Unified Examination Certificate (UEC) juga telah diiktiraf, walaupun masih belum sepenuhnya. Itu pun mereka terus mendesak supaya diiktiraf sepenuhnya seperti sijil persekolahan kebangsaan lain.

Pendek kata, memberikan ruang kepada bahasa bukan Melayu telah menjejaskan kepentingan bahasa Melayu sendiri. Dalam keadaan politik sekarang, sekiranya kerajaan terus melayan desakan ultra kiasu demi undi, saya bimbang aliran kebangsaan akan menjadi mangsa dan tidak relevan lagi.Saya harap datuk tersebut faham tulisan saya selama ini. – Sinar
 
 

No comments:

Pertandingan Mewarna Adik & Kakak Sertai

Hari ni adik & kakak masuk pertandingan mewarna. Tapi biasalah main dengan anak-anak pra sekolah ni, mak pak plak yang kalut mewarn...