Friday, June 8, 2012

BB Plaza Akan Diroboh Demi MRT


Pusat membeli-belah terkenal
Biar betul BB Plaza nak dirobohkan, aku pun dah lama tak ke sana, tapi dengan tempat yang sangat strategik tu, apa agaknya rupa kawasan tu tanpa BB Plaza?
 
KUALA LUMPUR 6 Jun - UDA Holdings Bhd. (UDA) terpaksa melepaskan aset paling berharga di ibu kota, kompleks beli-belah BB Plaza kepada MRT Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), sekiranya diminta berbuat demikian.
Pelepasan aset itu adalah sebagai memberi laluan kepada projek pembangunan nasional, My Rapid Transit (MRT).
Kompleks beli-belah seluas 400,000 kaki persegi (ruang kasar) itu kini mempunyai 150 penyewa dengan 60 peratus daripadanya adalah Melayu.
BB Plaza kini bernilai RM374 juta dan ia telah menyumbang sebanyak RM25 juta kepada perolehan tahunan UDA Mall, anak syarikat UDA Holdings.
Senario itu, menyaksikan UDA dilihat tersepit di antara agenda Melayu dan nasional.
Pengerusi UDA, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya terpaksa berkorban untuk melepaskan BB Plaza sekiranya diminta berbuat demikian demi memenuhi agenda nasional.
Ini kerana, katanya, projek yang dijalankan oleh MRT Corp., merupakan projek agenda nasional.
Namun, perkara yang terpaksa difikirkan oleh UDA adalah nasib penyewa Melayu di BB Plaza selain terjejas dari aspek pendapatan Kumpulan, tambah beliau.
"Setakat ini, kami dalam proses perbincangan dengan MRT Corp. bagi pengambilan tempat letak kereta bawah tanah BB Plaza untuk meletakkan peralatan dan perkakasan projek MRT peringkat awal.
"Sekiranya secara teknikal memungkinkan projek itu memerlukan kawasan yang lebih luas, UDA Holdings terpaksa menyerahkan keseluruhan BB Plaza dan melepaskan aset paling bernilai di ibu kota.
"Ini bermaksud BB Plaza mungkin akan dirobohkan untuk tujuan berkenaan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan transformasi sistem maklumat UDA di sini hari ini.
Hadir pada majlis ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Ahmad Abu Bakar.
Pada awal tahun ini, dua bangunan milik UDA di ibu kota, Plaza Warisan dan Bangunan UO terpaksa diserahkan kepada MRT Corp. untuk dirobohkan bagi membangunkan projek laluan dan stesen MRT.
UDA Holdings telah menerima pampasan sebanyak RM80 juta bagi kedua-dua bangunan berkenaan dan terpaksa melepaskan hampir 99 peratus penyewa Melayu daripada 81 penyewa keseluruhannya.
Tambah Nur Jazlan, setakat ini, pihaknya telah memberi notis pemberhentian kontrak bagi tempoh sebulan kepada kira-kira lima penyewa BB Plaza untuk memberi laluan projek pembinaan laluan MRT.
Ketika ditanya sama ada BB Plaza akan dibangunkan semula di tempat lain, Nur Jazlan memberitahu, pihaknya kini tidak lagi mempunyai bank tanah di ibu kota selain di bekas tapak Penjara Pudu.
Malah, katanya, lokasi BB Plaza adalah sangat strategik dan merupakan kawasan tumpuan perdana para pelancong.
"Jika dibina semula sekali pun di tempat lain, kos perbelanjaan akan meningkat sekali gus kadar sewa juga meningkat yang memberi beban kepada penyewa Melayu,'' ujarnya. (Utusan)

No comments:

Pertandingan Mewarna Adik & Kakak Sertai

Hari ni adik & kakak masuk pertandingan mewarna. Tapi biasalah main dengan anak-anak pra sekolah ni, mak pak plak yang kalut mewarn...