Keberangkatan pulang Tuanku Mizan
Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah pada akhir tempoh perkhidmatan
sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pagi tadi, berlangsung dengan penuh
istiadat diraja. Tuanku Mizan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada
26 April 2007 untuk tempoh lima tahun, berangkat meninggalkan Istana
Negara pada pukul 11 pagi.
Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk
Seri Ahmad Shabery Cheek selaku menteri pengiring dan isterinya Datin
Seri Che Sharifah Ismail.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan
isteri Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin serta Menteri Besar Terengganu
Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud.
Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah sebelum itu berkenan meluangkan
masa bersalaman dengan kesemua 500 petugas Istana Negara, sebelum
berangkat ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang
baginda berdua ke Terengganu.
Tuanku Mizan yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang
dikenali sebagai 'muskat' turut menerima mengadap Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Muskat, persalinan yang berasal dari kerajaan tua Muscat yang kini
dikenali sebagai Oman, merupakan baju labuh separas paha dan berlengan
panjang yang diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam dan dijahit
dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya iaitu
bunga kebangsaan Malaysia.
Baginda berdua berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki
kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi seramai tujuh pengiring
bermotosikal serta 12 pengiring am diraja daripada Kor Armour Diraja.
Ketika berangkat meninggalkan Istana Negara, baginda melintasi
pasukan kawalan kehormat oleh Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja yang
terdiri daripada tiga pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat yang
diketuai Mejar Mohd Zaffar Ismail.
Ketika itu juga lagu 'Negara Ku' dimainkan oleh pasukan pancaragam
batalion tersebut yang dianggotai oleh 30 anggota lain-lain pangkat.
Ketibaan pasangan diraja itu di Dataran Parlimen yang diiringi tiupan
nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja, disambut
Najib dan isteri.
Baginda berdua kemudian diiring ke peterana, melintasi pasukan
kawalan bertombak diikuti persembahan tabik 'Hormat Diraja' oleh pasukan
kawalan kehormat, yang disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam
Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Ahmad Muzaimi Mohd
Ali.
Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das. Tuanku Mizan kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri
daripada 103 anggota dan pegawai dari Batalion Pertama Regimen Askar
Melayu Diraja yang diketuai oleh Lt Mohd Nor Azizan Yahya.
Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah
Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, disusuli tabik 'Hormat Diraja'
serta lagu Negaraku.
Baginda berdua kemudian berangkat bersalaman perpisahan dengan
barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum
meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sementara itu, semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui
Jalan Parlimen, rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk
penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan
mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.
Ketibaan baginda berdua di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 12.35
tengah hari didahului dengan perarakan mengikut tradisi kesultanan
Melayu, dikepalai seekor gajah dilengkapi tandu yang dihiasi payung
kuning dan kain baldu berwarna merah.
Perarakan berwarna-warni itu diiringi 30 pemalu gendang dan disertai
300 pengiring berpakaian tradisional rakyat Malaysia, hulubalang dan
inang istana bergerak mendahului kenderaan yang membawa pasangan diraja
ke pintu kompleks. Ketibaan baginda berdua di pintu utama kompleks itu disambut Najib
dan isteri, serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk
Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Maznah Rais.
Setiba baginda berdua ke peterana khas di kompleks itu, seramai 40
pesilat membuat persembahan, diikuti jamuan ringan sebelum baginda
berangkat ke pesawat khas. Ini disusuli persembahan 'Daulat Tuanku' oleh peserta perarakan dan
diikuti bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan
Teh sebelum baginda berdua menaiki pesawat untuk berlepas pulang ke
Terengganu.
Laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali berserta lambaian dari
semua yang hadir mengiringi keberangkatan pulang baginda berdua. Pesawat khas yang membawa baginda berdua selamat berlepas
meninggalkan KLIA menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala
Terengganu pada pukul 1.15 petang.
Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, dipilih sebagai
Yang di-Pertuan Agong ke-14, manakala Sultan Kelantan, Sultan Muhammad
V, 42, dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih melaksanakan tugas
sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah pada 1970 iaitu dari
21 Sept 1970 sehingga 20 Sept 1975.
Baginda akan berangkat bagi menghadiri istiadat melafaz dan
menandatangani sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana
Negara esok.-
Sumber: BERNAMA
No comments:
Post a Comment