Saturday, December 24, 2011

Hukum Ucapan Selamat Hari Krismas Dan Perayaan Agama Lain


Soalan: Kita negara yang berbilang agama. Ramai yang mempunyai kawan pejabat, jiran dan lain-lain yang bukan muslim. Apabila tiba hari raya kita mereka mengucapkan selamat hariraya. Masalahnya, apabila tiba giliran hari raya agama mereka pulak, kita rasa macam serba salah. Bolehkah seorang muslim berikan ucapan selamat hari raya agama lain. Saya takut rosak akidah, tapi ramai pemimpin dan kawan-kawan muslim yang lain ucapkan. Saya pun risau juga kawan-kawan bukan muslim kecil hati, tapi saya pun nak jaga akidah saya.

Jawapan:
Islam mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. Firman Allah: (maksudnya)
“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Surah al-Nahl, ayat 106).

Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah ataupun “congratulating” sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain –secara langsung atau tidak langsung-, dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat baik kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini. Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

Boleh mengucapkan selamat hari raya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hariraya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hariraya Islam mereka mengucapkannya.

Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hariraya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita.

Sumber: Minda Tajdid - sila ke web drmaza.com untuk info & penjelasan yang lebih lanjut..

No comments:

Pertandingan Mewarna Adik & Kakak Sertai

Hari ni adik & kakak masuk pertandingan mewarna. Tapi biasalah main dengan anak-anak pra sekolah ni, mak pak plak yang kalut mewarn...