Mengumpat dalam bahasa Arab adalah 'ghibah'. Menurut Al-Imam al-Munawi, ghibah atau mengumpat adalah menyatakan keaiban seseorang di belakangnya sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau isyarat. Firman Allah, maksudnya:
" Dan janganlah mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang di antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik padanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha Penyayang." (surah al-Hujurat, 49:12)
Al-Imam al-Nawawi menyenaraikan enam keadaan yang dibolehkan mengumpat. (Lihat al-Azkar oleh Yahaya bin Syarf al-Nawawi, hal. 208).
- Ketika dizalimi. Orang yang dizalimi harus menceritakan mengenai orang yang menzalaminya kepada polis, peguam, hakim atau pihak berkuasa agar tindakan diambil.
- Ketika memohon bantuan untuk mencegah kemungkaran. jika kita terlihat maksiat, tetapi tiada upaya untuk mencegahnya. Seperti tiada ilmu untuk menegur maksiat tersebut. Maka, kita boleh memohon pertolongan orang yang berilmu untuk mencegah maksiat tersebut dengan ilmunya.
- Ketika meminta fatwa. Seperti isu rumah tangga yang perlukan penyelesaian melalui fatwa hakim atau mufti.
- Ketika mengingatkan seseorang daripada bahaya. Seperti menasihati penuntut ilmu agar tidak mengambil ilmu dari orang yang jahil.
- Ketika menegur perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan. Seperti teguran peminum arak, kaki judi dan lain-lain.
- Ketika menjelaskan tanda pengenalan diri seseorang: seperti kita ingin mencari seseorang yang kita terlupa namanya, tetapi kita hanya ingat sifatnya yang kurang sempurna. Lalu dinyatakan sifat tersebut agar dapat menemuinya.
Al-Syeikh Salim Al-Hilali berkata: "Keharusan mengumpat untuk keadaan-keadaan di atas adalah hukum susulan bukan hukum asal. Oleh itu, jika hilang sebab-sebab yang membolehkan mengumpat, maka dikembalikan hukumnya kepada hukum asal iaitu haramnya mengumpat.
Sumber: Harian Metro, 6 Jan 2012, oleh Fathul Bari Mat Jahya, Sarjana Usuluddin Hadis, Universiti Yarmouk, Jordan
No comments:
Post a Comment