Wednesday, October 17, 2012

Status Anak Luar Nikah (Anak Yang Tidak Sah Tarafnya)


Status Anak Luar Nikah (Anak Yang Tidak Sah Tarafnya)


Salam bahagia dan salam gembira kepada semua, semoga iman dan taqwa kita lebih baik grafnya. Soalan pengunjung yang berbunyi “Di sini ana nak cadangankan kepada ustaz untuk menghuraikan status anak luar nikah disisi Islam kerana saya rasa setenggah masyarakat memandang serong terhadap golongan ini. Adakah gelaran ANAK HARAM sesuai pada mereka padahal mereka lahir diatas ketelanjuran dan kesilapan mak ayah mereka? Bagaimanakah jika mereka membesar dan menjadi imam,wali dan statusnya. Tolong ustaz huraikan status anak ini disisi ISLAM bukan disisi MASYARAKAT?

Jawapannya
Status anak luar nikah (anak yang tidak sah tarafnya) adalah anak yang lahir dari hubungan ibu bapa tanpa ikatan pernikahan yang sah dari segi syariat Islam. Anak tersebut bukan anak haram, bukan najis dan kotor, sebenarnya anak itu adalah sempurna dan dilahirkan dalam keadaan fitrah dan bersih tanpa dosa. Bagi saya tidak baik dan tidak patut sangat menggelar anak tersebut sebagai anak haram. Yang menjadi masalah ialah hubungan zina kedua ibu bapanya tanpa ikatan perkahwinan. Haram itu adalah pelakuan ibu bapanya dan bukan anak itu haram. Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya).” (At-Tin : 4)

“Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.” (Al-Isra : 70)

Hadis Nabi yang bermaksud : “Setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah”.

Ketiga-tiga dalil yang diberikan di atas ini, sangat jelas dan tidak dapat dipertikaikan bahawa setiap manusia yang dilahirkan adalah dalam keadaan yang sangat baik dan bukan dalam keadaan aib dan hina sepertimana yang digambarkan oleh sesetengah pihak terhadap anak-anak luar nikah ini. Jangan dibinasakan anak tersebut disebabkan anak tersebut luar nikah. Sepatutnya kita sebagai orang Islam wajib memuliakan antara satu sama lain, berbuat baik antara satu sama lain kerana ini yang dikehendaki oleh Islam dan ini juga merupakan sifat Rasulullah saw.

Jangan kita menghina anak tersebut dan meminggirkannya sehingga dirinya merasa hina disebabkan salah ibu bapanya. Dosa besar bagi orang yang menaburkan fitnah dan mengaibkan orang di atas segala dosa yang telah dilakukan oleh ibu dan bapanya. Dosa ibu bapanya yang lalu biarlah mereka dengan Allah, kita sebagai umat Islam berdoa kepada Allah mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa ketelanjuran mereka dahulu. Sebagai umat Islam tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa atas kesalahan yang telah dilakukan, tetapi sepatutnya mengajak dan memberikan nasihat yang baik kepada mereka supaya mereka mengerti akan pelakuan mereka itu adalah salah di sisi syariat dan bersegeralah bertaubat. Sesungguhnya Allah menerima ampun bagi sesiapa yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

Anak luar nikah tidak dipertanggungjawabkan atas kelakuan ibu bapanya yang terlanjur dan tidak boleh kita menuding jari kepada anak tersebut, dia juga mempunyai perasaan dan mempunyai hati yang perlu dijaga oleh kita. Setiap amalan kejahatan dan kebaikan adalah merupakan tanggungjawab individu tersebut dan tidak dipertanggungjawabkan kepada orang lain. Firman Allah yang bermaksud :

“Patutkah manusia menyangka, Bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?” (Al-Qiyamah : 36)

Setiap anak yang dilahirkan perlu dibimbing dan dididik kearah yang dituntut dalam Islam, menghantar anak mempelajari ilmu-ilmu agama terlebih dahulu kerana ini merupakan fardhu ain dan wajib dituntut oleh setiap individu muslim sebagai panduan hidupnya. Jika anak tersebut menjadi ustaz, menjadi imam, menjadi muazzin dan sebagainya, maka itu lebih positif dan bagus kerana anak tersebut merupakan saham kebaikan kepada ibu bapanya dan sudah pasti anak tersebut akan sentiasa mendoakan kebaikan terhadap ibu bapanya. Jika anak tersebut mengetahui akan status dirinya adalah anak luar nikah, saya rasa mungkin anak tersebut menerima kenyataan dengan redho dan mengetahui ini adalah ketentuan Allah.

Bagaimana jika anak luar nikah jadi imam di masjid atau di surau? Jawapannya solat jemaah itu tetap sah jika anak luar nikah itu menjadi imam atas kelayakkannya, mengikuti krateria-krateria sebagai seorang imam, fasih bacaannya, sebutan jelas dan tajwidnya betul, maka itu tidak menjadi masalah dan solat jemaah tersebut sah.

Adakah boleh anak luar nikah jadi wali kepada adik-adiknya? Jawapannya menurut pendapat ulamak anak luar nikah tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya, kerana hubungan ibu dan bapanya diluar ikatan perkahwinan yang sah. Anak luar nikah ini perlu dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Jadi jelas di sini, bahawa anak tersebut tidak dikira dari darah daging ayahnya. Anak luar nikah ini tidak boleh jadi wali kepada adik-adiknya.

Adakah bapa yang melakukan zina sehingga dia dilahirkan itu boleh jadi walinya? Jawapannya adalah tidak boleh sebab, menurut pendapat ulamak bapak tersebut tidak sah dan tidak diiktiraf kerana mereka melakukan hubungan diluar ikatan perkahwinan yang sah. Maka anak tersebut boleh diwalikan oleh wali hakim (perkara ini boleh dirujuk kepada bahagian pembangunan keluarga Islam Jabatan Agama Islam mana-mana negeri dalam Malaysia.



Sumber: Ustaz Nor Amin

4 comments:

Anum said...

good

Anonymous said...

tq share yg ini juga !

Kasih Salina said...

perkongsian untuk pengetahuan diri saya juga..

nazayiena said...

Memang semua anak yg lahir di dunia nie lahir dgn suci dan bersih,tp kasihankan dgn anak luar nikah nie.

Pertandingan Mewarna Adik & Kakak Sertai

Hari ni adik & kakak masuk pertandingan mewarna. Tapi biasalah main dengan anak-anak pra sekolah ni, mak pak plak yang kalut mewarn...