Showing posts with label Tips dan Petua Mendidik Anak. Show all posts
Showing posts with label Tips dan Petua Mendidik Anak. Show all posts

Tuesday, January 15, 2013

Kerana Sayangkan Abah


Kerana Sayangkan Abah


Kerana sayangkan abah,
Seiring azan bergema..
Lekas ana sujud pada-Nya..
Bermohon untuk abah, bermohon untuk mama.

Kerana sayangkan abah,
Ana labuhkan tudung ana..
Supaya tiada pandangan lelaki ajnabi akan melirik..
Mencuri pandang perhiasan yang Allah berikan pada ana.

Kerana sayangkan abah,
Ana tinggalkan jeans ketat..
Ana campakkan tshirt sendat..
Lalu ana pilih pakaian yang mengikut syariat.

Kerana sayangkan abah,
Ana jadikan malu sebagai perisai..
Ana selimutkan diri dengan iman..
Ana pelihara maruah agar maruah abah terpelihara.

Kerana sayangkan abah,
Ana ingin menjadi seorang muslimah..
Ana mengimpikan peribadi yang solehah..
Ana berusaha mencari keredhaan Allah.

Kerana sayangkan abah,
Ana lakukan semua ini..
Ana mahu abah jadi suami dan ayah yang amanah..
Ana tidak mahu kerana ana abah dipersoalkan di akhirat sana.



# Semoga anak-anak ibu pandai berfikir begini juga suatu hari nanti, Insyallah Ibu dan abah akan memberi contoh yang terbaik untuk anak-anak.

 

 Sumber: iluvislam



Monday, December 17, 2012

7 Kaedah Mendidik Anak-Anak


7 Kaedah Mendidik Anak-Anak

1. Pendidikan Iman
Iaitu kelahiran anak hendaklah dimulai dengan sebutan nama-nama Allah dan kemudian disusuli dengan mendengarkan kepada anak-anak suatu yang boleh menumbuhkan bibit-bibit iman di dadanya. Ibu bapa tidak seharusnya mencemari sebutan nama Allah melalui azan selepas lahir dengan bunyian lagha dalam proses tumbesarannya.

2. Pendidikan Akhlak
Anak-anak seharusnya didedahkan dengan amalan-amalan dan nilai-nilai mulia seperti tutur kata sopan, menghormati orang tua, belas kasihan kepada orang susah dan sebagainya. Ini semua boleh diterapkan dengan berkesan melalui contoh tauladan yang dipertontonkan oleh ibu bapa dan ia bermula dari dalam kandungan lagi sehinggalah dilahirkan.

3. Pendidikan Intelektual
Ibu bapa hendaklah menghidupkan budaya ilmu di rumah agar anak-anak terbiasa dengannya dan lahirnya rasa cintakan ilmu. Ia boleh dipupuk melalui tauladan membaca, berdiskusi dan sebagainya. Di rumah sebaiknya diwujudkan perpustakaan mini atau rak-rak buku yang boleh mencetuskan naluri ingin membaca. Minat membaca harus dipupuk dari kecil kerana membaca adalah jambatan ilmu.

4. Pendidikan Fizikal
Anak-anak juga perlu didedahkan dengan aktiviti fizikal iaitu melalui riadah dan bersukan. Kerana seperti kata pepatah 'akal yang cerdas dari tubuh badan yang sihat'. Oleh itu ibu bapa wajar membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti lasak di luar rumah agar mereka menjadi cergas dan mampu melakukan kerja-kerja berat.

5. Pendidikan Psikologi
Ibu bapa hendaklah memastikan agar anak-anak sentiasa terdidik dengan naluri dan perasaan yang positif kerana ia dapat membantu kematangan mereka. Anak-anak perlu diterapkan dengan sifat berani, kuat semangat, tabah, sabar, benar dan sebagainya. Mereka hendaklah dihindari dari sifat-sifat negatif seperti penakut, panas baran dan sebagainya. Ini boleh diterapkan melalui teguran dan contoh dari ibu bapa.

6. Pendidikan Sosial
Apa yang dimaksudkan di sini ialah kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling dan pandai menyesuaikan diri. Sikap ini boleh dipupuk melalui pendedahan pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Ibu bapa boleh menerapkannya dengan membawa anak-anak ke tempat perhimpunan orang ramai seperti di majlis-majlis kenduri, gotong royong ataupun solat berjemaah di masjid.

7. Pendidikan Seksual
Anak-anak juga perlu didedahkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hubungan lelaki dan perempuan, batasan aurat, adab pergaulan dengan bukan mahram dan nilai-nilai mulia seperti sifat malu dan sopan dalam membicarakan soal berkaitan dengan seks. Mereka juga hendaklah didedahkan tentang hukum haram berkhalwat dan berzina. Ini dapat memelihara maruah dan nama baik keluarga dan ibu bapa.
 
 
 
 
 
 

Saturday, December 15, 2012

Ibu Bapa Perlu Ilmu Untuk Membentuk Masa Depan Anak-Anak


Ibu Bapa Perlu Ilmu Untuk Membentuk Masa Depan Anak-Anak


Pelbagai reaksi ibu bapa apabila ditanya mengenai anak dan harapan. Bercakap mudah, tapi dari segi pelaksanaan mungkin berbeza dalam membentuk kejayaan masa depan anak.

Menurut Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah Kulup Hamzah berkata ibu bapa memainkan peranan penting sejak dari awal lagi.

"Kebanyakan ibu bapa tidak ada visi dan misi yang jelas dalam mencorakkan masa depan anak. Mereka hanya proses anak tetapi tapi tidak tahu apa perancangan yang sepatutnya dilakukan seterusnya.

"Jika ibu bapa gagal merancang, sebenarnya mereka merancang untuk gagal mendidik anak." 
Terdapat sesetengah ibu bapa mengambil jalan mudah dalam membesarkan anak. Mereka masukkan anak sejak bayi lagi ke pusat asuhan kanan-kanak, tadika, sekolah dan seterusnya masuk universiti dan serahkan bulat-bulat kepada pihak tersebut untuk mendidik.
"Sikap ibu bapa melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah sepenuhnya adalah kurang wajar. Anak bukan bahan buangan atau kitar semula untuk disumbatkan ke mana-mana tempat.

"Ini menyebabkan sebilangan ibu bapa kurang mengambil berat soal anak di sekolah. Apabila ada perjumpaan ibu bapa dan guru, mereka tidak tahu apa nak ditanyakan kepada tenaga pengajar mengenai anak mereka," tambahnya.
Anak yang pergi sekolah tanpa tujuan seolah-olah mempelajari ilmu tanpa jiwa. Kekuatan dirinya hilang dan tidak tahu kenapa perlu belajar. Harapan ibu bapa mahukan anak mereka berjaya, tetapi akibat kemahuan antara kedua-duanya tidak sehaluan, maka ia temui kegagalan.
"Contohnya, ibu bapa mahukan anak jadi jurutera dan dihantar belajar ke universiti dalam bidang kejuruteraan, sedangkan anak minat bidang seni. Akhirnya dia menjadi jurutera yang tiada jiwa."

Anak yang dididik mengikut acuan ibu bapa secara total tanpa perundingan, mungkin anak boleh berjaya. Namun kesannya, ada anak yang tidak nampak fokus ke mana hendak pergi selepas tamat belajar, tidak mampu berdikari dan malas bekerja.
"Oleh itu ibu bapa perlu berunding dengan anak mengenai masa depannya dan capai persetujuan antara kedua-duanya.

"Jika ibu bapa mampu melihat potensi anak dan diberi dorongan, dia mampu menjadi insan berjaya dalam bidang yang diminatinya."
Beliau menegaskan bahawa ibu bapalah perlu ada kerangka perancangan yang jelas dalam membesarkan anak agar dapat melihat hasil didikan yang cemerlang. Ia umpama menanam anak pokok yang perlu dijaga, disiram dan dibajai pada tahap tertentu untuk mendapatkan hasil buah yang baik.
"Ibu bapa perlu tingkatkan kemahiran keibubapaan mereka dari segi pengurusan, penilaian, perundingan dengan anak. Ibu bapa perlu ada transformasi fikiran, perasaan, perbuatan dan pertuturan untuk mendekati anak pada zaman ini."
Tambahnya, agama boleh menjadi benteng anak dalam menghadapi cabaran hidup, jika diletakkan secara betul.
"Didik anak agar sentiasa hatinya berhubung dengan ALLAH SWT. Ini secara langsung dapat mengeratkan hubungannya dengan ibu bapa dan masyarakat sekeliling," katanya.


Sumber 


Wednesday, December 5, 2012

Sabar Menghadapi Anak Yang Dikurniakan Allah



Anak adalah anugerah Allah kepada pasangan suami isteri dan sebagai hamba Allah yang bertaqwa dan telah diamanahkan, kita hendaklah menerima anugerah Allah ini dengan penuh kesyukuran kerana cahaya mata itu adalah perhiasan dan penyeri rumahtangga kita. 
Firman Allah :
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.” (Al-Kahfi : 46)
Kadang-kadang ibu bapa mengeluh mempunyai anak kerana banyak duit yang diperlukan untuk membesarkan anak-anak. Apatah lagi dengan macam-macam perkara yang mendesak diri kita untuk memiliki semua harta dunia ini. Ada juga ibu bapa yang asyik mengejar karier dan mengabaikan anak-anak. Mereka lupa sesungguhnya anak bukan membebankan tetapi ia adalah pembawa rezeki kepada keluarga tersebut. Setiap anak telah ditetapkan rezekinya semasa dalam kandungan lagi. Perkara ini telah dibuktikan di dalam firman Allah :

“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.” (Az-Zaariyat : 58)
Proses membesarkan anak-anak memang mencabar kesabaran kita tetapi hendaklah kita ingat sebagai ibu bapa laksanakanlah tugas mendidik, mengasuh dan membesarkan anak-anak dengan penuh keikhlasan dan kesabaran sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. 

Memang sifat si anak-anak begitu, seolah-olah meminta perhatian daripada kita sentiasa, pantang melihat ibu dan ayahnya berehat, ada-ada saja rengetan dan benda yang hendak diminta. 

Begitu juga bila mana anak-anak tidak sihat, memang akan menganggu tugas harian kita. Bila anak-anak demam pasti akan merenggek waktu malam dan menyebabkan kita juga tidak boleh tidur. Si bapa pula jangan lah terus membuta masa anak sakit, kesian si isteri pun akan terasa kepenatan.

Tindakan saling membantu antara suami dan isteri dalam segala urusan rumahtangga, adalah tindakan yang baik dan ia merupakan sunah Rasulullah saw. Dari Aisyah ra ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Aswad :

“Apa yang di lakukan Rasulullah saw di rumahnya? Aisyah ra menjawab : Rasulullah saw membantu isterinya dalam menyelesaikan pekerjaan rumah dan jika beliau saw mendengarkan azan beliaupun keluar (ke mesjid)”. (Riwayat Al-Bukhari)

Rasullah juga membantu isterinya membuat kerja rumah, ini tauladan yang sangat baik dan perlu dicontohi oleh semua umat Islam. Jangan anggap kerja rumah itu adalah kerja isteri sahaja dan suami tidak perlu membantunya. Suami perlu mempunyai sikap bertimbang rasa kepada isterinya untuk menjaga rumahtangga kerana ia adalah milik bersama.






Saturday, November 10, 2012

Doa Perlindungan Untuk Anak-Anak Kita




Anak merupakan anugerah paling berharga bagi setiap insan. Dalam dunia hari ini yang semakin mencabar, setiap ibu bapa pasti ada kerisauan dan kebimbangan dalam soal keselamatan anak-anak dan menginginkan anaknya selamat daripada sebarang gangguan syaitan, anasir-anasir jahat dan sebagainya. Sebagai ibu bapa, kita wajib melindungi anak-anak.

Terdapat satu doa yang diamalkan oleh Rasulullah saw yang patut diamalkan oleh setiap ibubapa agar anak tersayang selamat daripada sebarang gangguan.

Rasulullah s.a.w telah berdoa untuk perlindungan Hasan dan Husain (cucunya) dengan membaca:
 
 

“Aku berlindung kepada Allah untukmu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada semua syaitan, binatang berbisa dan pandangan mata yang jahat.” [Imam al-Bukhari]

 

Friday, May 25, 2012

Penting Untuk Ibu Bapa Baca - Keluarga Sakinah Untuk Didik Dan Asuh Anak

KUALA LUMPUR - Hati ibu mana yang tidak resah, hati ayah mana yang tidak gundah bila anak lari dari rumah, anak ambil dadah, anak jadi mat atau minat rempit atau anak membuang anak?

Keresahan dan kegundahan ini mungkin boleh dikatakan "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna", justeru sebelum "nasi menjadi bubur", ibu bapa perlu menjadi lebih bertanggungjawab dalam mendidik anak mereka terutama menjelang usia remaja.

Supaya anak tidak menjadi kisah masyarakat atau menjadi statistik salah laku, mereka ini memerlukan asuhan dan didikan sejak usia kecil seperti peribahasa "melentur buluh biarlah dari rebung."

Bukan tidak ada peringatan atau nasihat orang tua dalam mendidik anak begitu juga ajaran serta tuntutan agama, cuma ada ibu bapa hari ini yang mungkin menjadi terlalu sibuk mencari rezeki sehingga kebajikan anak diabai.

Pengabaian seperti ini hanya mengundang musibah. Lihatlah sahaja paparan media mengenai salah laku remaja di mana ada kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah terlibat dalam kes jenayah.

Siapa yang hendak dipertanggungjawabkan? Ibu bapa? Masyarakat? Pucuk pimpinan?

DIDIK ANAK

Mungkin ada pihak yang suka menuding jari tetapi kita lazim mendengar anak dilahirkan sebagai "kain putih" dan yang bertanggungjawab membentuk corak kain itu ialah ibu bapanya.

Sehubungan itu, asas pendidikan anak tidak dapat tidak, harus bermula dari rumah.

Dalam hal ini, rumah boleh diibaratkan sebagai sekolah pertama untuk anak.

Ini turut ditegaskan Prof Dr Sidek Baba, profesor pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang lebih senang dipanggil "Cikgu Sidek."

Menurut beliau, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan memberi didikan asas kepada anak.

Katanya, proses mendidik perlu bermula dari peringkat usia kecil sebelum anak itu menjejakkan kaki ke sekolah.

Cikgu Sidek adalah juga anggota lembaga pengarah Ikim dan anggota lembaga pengarah Darul Quran Malaysia.


KELUARGA SAKINAH

Perkataan 'sakinah' (bahasa Arab) di sini dikaitkan dengan suasana tenang, aman dan penuh kasih sayang.

Membina keluarga sakinah memerlukan pasangan suami isteri yang saling faham memahami serta bertolak-ansur dan boleh menjadi sumber contoh kepada anak.

Dalam hal ini, Cikgu Sidek menjelaskan ibu bapa perlu menunjukkan teladan dan mempraktikkan segala amalan baik di depan anak.

"Suami dan isteri, masing-masing mempunyai kecenderungan, kemahuan, tabiat serta tingkah laku yang berbeza.

"Mereka perlu melalui proses kekenalan, saling mengerti dan memahami setelah berumahtangga. Ini sangat penting. Tanpa kita kenal dia, persamaan dan perbezaan, susah kita hendak hidup sama.

"Jadi kalau ada sesuatu yang baik pada suami, kita terima. Begitu juga dengan isteri.

"Yang penting bagi manusia bukan zahir, yang sangat penting ialah batinnya. Kalau semua dijadikan sempurna, tidak timbullah masalah," kata Cikgu Sidek.

BENTUK WATAK ANAK

Menurut Cikgu Sidek, suami dan isteri berperanan dalam mengasuh serta mendidik anak.

Ayah adalah ketua dalam keluarga, membina disiplin dan ketaatan anak sementara ibu pula adalah lambang kasih sayang.

Beliau berkata, ibu dari segi fitrah memiliki sifat yang unik dan penting sebagai sumber didik anak.

Ibu, katanya mempunyai elemen sabar dan menghabiskan lebih banyak masa dengan anak berbanding bapa.

"Jika kita sentuh hati anak dengan cara yang baik, anak akan jadi anak yang taat dan patuh, anak yang menghormati dan orang yang beradab.

"Ini memerlukan latihan dan kita secara tidak langsung mendidik anak kita untuk menyediakannya menjadi isteri dan suami yang baik.

"Barulah kitaran ini menepati apa yang kita mahu," kata Cikgu Sidek.

FAKTOR LAIN

Bagaimanapun, ibu bapa bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi pembentukan watak anak.

Pengaruh genetik dan persekitaran turut memainkan peranan.

"Kadang-kadang bila kita sudah berumur, kita berhadapan dengan anak yang tidak beradab. Barulah kita hendak mencari jalan, kadang-kadang sudah terlewat.

"Sebelum terjadi, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati," kata Cikgu Sidek.

Dalam hal ini, beliau mengaitkan situasi ini dengan soal makanan dan pemakanan.

Menurut beliau, Al-Quran memberikan asas yang sangat jelas mengenai soal halal dan haram kerana makanan menyumbang kepada faktor genetik dan warisan.

"Kita cari rezeki yang halal. Makanan juga, ramuannya memberi kesan pengaruh kepada genetik.

"Bila kita makan benda-benda yang haram atau syubahah (ada unsur was-was), ia akan memberikan kesan bukan sahaja kepada kita malah kepada anak pada masa akan datang.

"Ada kalanya kita beri cukup makan, beli barang permainan tetapi mengapa itu semua tidak mampu membentuk peribadi menjadikan anak kita orang yang beradab, tunduk dan hormat kepada emak dan ayah?" tambah Cikgu Sidek.

TEKANAN HIDUP

Tekanan hidup serta beban kewangan menyebabkan suami isteri terpaksa bekerja dan keadaan ini menyebabkan masa berkualiti untuk anak semakin berkurangan.

"Ada ibu bapa yang meninggalkan rumah seawal pukul 7 pagi sehingga tidak sempat hendak memberi usapan untuk anak.

"Bila balik sudah lewat petang, ibu sibuk pula hendak buat kerja, lantai tak lap, nasi belum masak, nanti bapak balik macam mana? Takkan nak selalu makan di warung," katanya.

Menurut Cikgu Sidek, situasi yang sedemikian ada kalanya boleh menjadi punca perbalahan terutama sekali apabila suami tidak mengambil kira keletihan isteri dan hanya mahukan makanan siap disediakan apabila dia pulang dari kerja.

Beliau turut menegur sikap sesetengah suami yang tidak mengendahkan keadaan emosi isteri yang sedang mengandung.

"Kadang-kadang suami tak faham. Waktu itulah dia buat gelagat, balik lewat, jadi ini menyentuh emosi ibu.

"Bagaimana ibu nak tenang? nak sakinah? Kalau gelagat bapa semacam itu?" 

Cikgu Sidek mengingatkan bahawa pembentukan watak, sikap, tabiat dan tingkah laku anak bermula dari rahim ibu lagi.

Para suami, katanya, perlu menjaga emosi isteri yang hamil dan mewujudkan suasana sakinah supaya isteri sentiasa tenang.

ELAK CERAI

Cikgu Sidek turut menasihati para suami jangan membuli dan merendah-rendahkan martabat isteri meskipun mereka ketua keluarga.

Sambil turut mengingatkan para suami bahawa isteri adalah amanah orang tuanya yang diserahkan kepada mereka, suami sepatutnya mengambil kelebihan isteri untuk melengkapkan kelemahan yang ada pada dirinya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata pasangan suami isteri perlu berusaha mengelakkan perceraian apabila berlaku perbalahan.

Suami isteri perlu menyuburkan sifat sabar, syukur dan berterima kasih dalam kehidupan mereka.

"Ini yang berlaku sekarang, berbalah dan bercerai. Ini juga yang menyebabkan kadar perceraian hari ini di kalangan orang muda yang baru berkahwin adalah luar biasa besarnya.

"Puncanya kadang-kadang tak sabar, tak bertolak ansur, tak bijaksana," kata Cikgu Sidek.

Beliau turut berpandangan "penyakit dan super ego" adalah antara punca lain yang menyebabkan berlaku banyak perceraian di kalangan masyarakat Melayu.

PERLU BIJAK

Masalah dalam keluarga tidak dapat dielak, bak kata Cikgu Sidek, "sedangkan gigi dan lidah lagi tergigit, sedangkan pinggan-mangkuk yang dicuci pun berlaga".

Cuma yang penting, suami-isteri perlu bijak menyelesaikan krisis atau konflik yang timbul.

Dalam hal ini, suami, katanya perlu pandai mengambil hati isteri.

"Ini sangat penting. Macam kita dengan ibu kita. Ibu kadang kala berkecil hati.

"Isterikan juga seorang ibu. Ambil hati dia, tak kena bayar pun. Berlembut dengan dia, jangan ada syak wasangka. Beri juga pujian.

"Dengan isteri, kita kena jujur dan jujur ini kerana Allah. Ini tahap yang kita hendak lakukan untuk memberi kesan kepada anak," pesan Cikgu Sidek.

Kepada para isteri, Cikgu Sidek berkata mereka perlu mensyukuri suami yang baik.

Isteri yang mahu menegur suami dinasihati supaya menegur dengan adab yang tinggi dan jangan sekali-kali ungkit mengungkit perkara silam.

PERLU ILMU

Dalam mendidik dan mengasuh anak, ibu bapa juga perlu mempunyai cukup ilmu kerana mereka akan menjadi sumber rujukan anak.

Anak pada peringkat awal usia adalah dalam peringkat pencarian. Dia hendak faham, dia hendak tahu dan hendak makna tentang sesuatu.

Cikgu Sidek berkata, ibu bapa yang tidak menjadi sumber dalam pendidikan dan pendewasaan anak akan menjadi akar sebab anak bermasalah.

Menurut Cikgu Sidek, anak yang bertanya sebenarnya adalah anak yang cergas dan pintar.

"Ibu bapalah yang memberi terjemahan kepada apa yang dia mahu tahu. Dari situ, ayah dan ibu sudah membina asas dan tapak.

"Sekiranya ia dibina dengan kukuh di rumah, insya-Allah apabila kita hantar mereka ke sekolah, hati dia tidak kosong, tidak lompang," jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa pengisian ilmu anak akan bersambung secara sistematik apabila mereka bersekolah.

Di sekolah juga, katanya, anak yang berjaya akan membentuk watak masing-masing dan akan tampil dalam masyarakat dengan sistem yang elok dan baik.

"Ibarat ikan di laut. Semana masin air laut, dagingnya tetap tawar," Cikgu Sidek berkias.

JIWA KOSONG

Cikgu Sidek turut mengingatkan ibu bapa supaya jangan mengabaikan anak dalam kesibukan mereka keluar bekerja.

Anak pula, katanya yang berjam-jam menunggu kepulangan ibu dan ayah akan merasa terabai bila tidak diberi perhatian.

"Dengar bunyi kereta, anak meluru ke pintu. Sungguh ceria. Emak pula kata hendak solat, hendak cuci pinggan.

"Cuba bayangkan anak ini, kita tidak peluk dia, tak berbual dengan dia dan dengar dia berceloteh.

"Tengok apa akan jadi, dia balik sambung tengok televisyen, tengok komputer, main dengan kucing. Itulah realiti yang sedang berlaku.

Anak yang begini akhirnya akan memilih jalan mereka sendiri, terdedah kepada pengaruh rakan sebaya, media cetak dan elektronik serta terputus hubungan komunikasi dengan ibu dan ayah.

Kesilapan didikan dalam keluarga seperti ini akan menyebabkan berlaku kekosongan dalam hati anak berkenaan.

"Kalau di rumah cicir, di sekolah juga cicir, dalam masyarakat pasti cicir.

Bukan sahaja mereka akan hilang jati diri tetapi hilang hala tuju," katanya.

- BERNAMA
 
 

Tuesday, May 1, 2012

40 Kesilapan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-Anak




Assalamualaikum..

Mungkin selama ini, kita ingat diri kita saja yang betol dan sebagai ibu bapa kita berhak ke atas anak termasuk merotan, marah dan sehinggalah dalam soal mencari jodoh. Kadang-kadang kita tidak menyedari keegoan kita sebagai ibu bapa, lantas membuat kesilapan dalam soal mendidik anak-anak. Akibatnya kita mendapat anak yang ingkar kepada suruhan ibu bapa dan perintah Allah swt.


40 KESILAPAN IBU BAPA

1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat
2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat
3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak
4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak
5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak
6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan
7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan
8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak
9. Kurang melahirkan kasih sayang
10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak
11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah
12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan
13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak
14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak
15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak
16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca
17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal
18. Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak
19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak
20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibubapa dengan anak-anak
21. Tidak menggunakan bahasa yang betul
22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak
23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak
24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat
25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak
26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak
27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak
28. Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak
29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak
30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak
31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak
32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak
33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak
34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan
35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak
36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan
37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak
38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak
39. Tidak tegas mendidik anak-anak
40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama


 Sumber: Amirulasri.com



Monday, March 19, 2012

Panduan Mendidik | Bekalkan Anak Dengan Ilmu Agama



Selamat pagi semua, aku memang suka kumpul artikal berkaitan apa saja yang boleh memberi manfaat dan panduan hidup untuk mengingatkan & memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Sumber artikel ni aku petik dari harian metro.

Sebagai Muslim, terutama ibu bapa, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk mendidik zuriat yang diamanahkan Allah SWT. Sebaik si kecil melihat dunia, mereka akan diazankan, tahnik, aqiqah dan diberikan nama baik, bukan sekadar dicoretkan dengan nama glamor mahupun terkini.


Alunan azan dilagukan di telinga kanan manakala iqamat di telinga kiri si bayi seperti dilakukan Rasulullah SAW. Abu Rafi meriwayatkan sebuah hadis bermaksud: “Aku melihat Rasulullah SAW mengazankan Hasan bin Ali pada telinganya ketika dia baru dilahirkan Fatimah RA.” (Riwayat Abu Daud dan Termizi) Sebagai suapan pertama, sunat disuapkan bayi dengan manisan seperti madu dan kurma. Riwayat Abu Musa Al Asyari RA mengatakan: “Isteriku melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudian disuap dengan buah kurma (yang dilumatkan) dan baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Genap tujuh hari kelahiran, disunatkan ibu bapa melakukan ibadat aqiqah iaitu seekor kambing bagi bayi perempuan manakala dua kambing untuk anak lelaki.


Rambut pula sunat dicukur keseluruhan supaya kepalanya bersih, otak cergas dan rambut baru tumbuh dengan subur dan sihat.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ketujuh, diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya.” (Riwayat Abu Daud, Termizi dan Nasa).

 Bagi ibu yang menyusukan anak, dia perlu makan makanan halal, bersih dan berzat.


Membekalkan ilmu terbaik kepada anak bagi kecemerlangan hidup di dunia dan berjaya di akhirat, seperti firman Allah SWT: “Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat yang kasar, keras, tidak menderhakai Allah terhadap apa diperintahkan-Nya dan mengerjakan apa diperintahkan.” (surah at-Tahrim, ayat 6) Ibu bapa harus memantau setiap tingkah laku, pergerakan dan aktiviti dilakukan anak, bukan terlalu mengejar kemewahan hingga terabai tanggungjawab yang perlu digalas.


Fitrahnya ibu bapa berperanan memandu anak dalam kehidupan, usah terlalu percaya pada mereka untuk mengurus diri kerana bimbang tersasar.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci bersih. Ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat Abu Ya’la, Thabrani dan Baihaqi) Pernahkah kita mengkaji punca permasalahan sosial masa kini, adakah kehidupan diterapkan mengikut acuan al-Quran dan sunnah, mengikut suruhan Allah dan diajar Rasulullah? Atau kita asyik mendidik anak mengikut acuan Barat supaya tidak ketinggalan dek zaman mengejar kemodenan.


Masih memegang status bujang, terlintas di fikiran adakah saya layak membicarakan topik ini, namun saya rasa terpanggil mengenangkan kata-kata seorang ustaz tersohor berbunyi, ‘adakah kita harus mati terlebih dulu jika ingin berbicara mengenai kematian?’ Di sini ingin saya kongsikan cerita mengenai ibu saya bergelar ibu tunggal mendidik anaknya hingga dewasa hingga mampu berdiri sendiri.


Mengawal bererti tidak mengongkong, mama sentiasa memantau pergerakan, pergaulan serta aktiviti dilakukan anaknya meskipun kadangkala rimas dengan sikapnya, namun itu adalah tanggungjawab yang harus dipikulnya.


Mama turut menerapkan ilmu agama dalam kehidupan kami dan memupuk perasaan untuk mencintai al-Quran, bertepatan dengan sabda baginda bermaksud: “Didiklah anak kamu atas tiga perkara: cinta kepada nabi kamu, cinta kepada kaum keluarganya serta membaca al-Quran. Sesungguhnya pembaca al-Quran berada di dalam naungan Arasy Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama- sama nabi-Nya dan orang- orang suci-Nya.” (Hadis Riwayat at-Thabrani daripada Saidina Ali) Sebagai anak, kita harus menghormati suruhan dan permintaan ibu bapa selagi tidak melanggar syarak kerana mereka sentiasa mahukan terbaik untuk kehidupan anak.

Thursday, February 2, 2012

Sayangi dan Kasihi Anak-anak Kita Ketika Kecil


Mengapa aku kata sayangi anak2 ketika masih kecil? Kenapa tidak ketika mereka sudah besar, besar pada usia remaja, dewasa...?

Sebabnya semuanya bermula ketika anak masih kecil, ketika itulah mudah kita membentuknya..menyayanginya (sebelum dia menyayangi insan lain) bak kata pepatah Melayu.."Melentur buluh biarlah dari rebungnya.."

1. Namakan anak anda dengan nama yang baik..Panggilah dengan nama itu sepenuhnya dan panggilan yang baik-baik saja.
2. Berikan anak anda pelukan setiap hari...dikatakan IQ akan lebih baik, anak akan rasa dihargai, tidak degil.
3. Puji atau peluk anak anda jika dia melakukan kebaikan/ buat perkara yang betul/ pandai dalam sesuatu perkara, dia akan lebih terasa dihargai, ingin membuat lebih baik lagi..atau sekurang-kurangnya tahu dia dia mendapat perhatian daripada ibu bapanya.
4. Senakal mana anak anda, jangan sesekali mengeluh. Biar betapa letihnya kita...sebaiknya mengucap sesuatu yang lebih baik.
5. Ingatlah...anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali. 



Wednesday, January 25, 2012

Anak Asset Ke Syurga atau Neraka?

Dalam pada duk layan video kawin Ally Iskandar tu, jom sat kita tengok video ceramah agama yang boleh memberi manfaat dan memberi 1001 makna dalam hidup kita. Adakah kita mampu membawa anak kita ke syurga? Anak adalah anugerah Allah yang tak terhingga dan janganlah kita mempersia-siakan mereka hingga termasuk atau menjadi Ahli NERAKA. Nauzubillah.. 


 




Friday, January 13, 2012

Surah Taha, Ayat 1-6 Doa Untuk Anak Malas Sekolah



Maksud Ayat:

"To Ha (Allah yang mengetahui maksudnya). Tiada Kami (Allah) turunkan kepadamu al-Quran ini supaya engkau celaka (menyusahkan engkau)! Melainkan untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut. (Al-Quran) yang diturunkan daripada Tuhan, yang menciptakan bumi dan beberapa langit yang tinggi. Tuhan yang Pengasih, di atas singgahsana Dia bersemayam (berkuasa). Dia mempunyai apa yang ada di langit, dan di bumi, serta di antara keduanya dan apa yang ada di bawah tanah."

Doa ibubapa kepada anak mudah dikabulkan oleh Allah SWT.

Bacakan Ayat 1-6 dan hembuskan pada lehernya sewaktu ia menarik nafas untuk menjadikan anak itu anak yang baik.

Ayat ini adalah ayat pelembut hati.

Boleh juga diamalkan membaca Ayat 1 - 5 kepada anak-anak yang malas bersekolah.


Sumber: Infinity 






Surah Taha Ayat 25-28 Untuk Penawar Anak Lambat Bercakap

Maksudnya:

"Wahai Tuhanku! Lapangkanlah dadaku. Dan mudahkanlah bagiku urusanku. Dan bukakanlah simpulan dari lidahku. (Supaya) mereka memahami perkataanku."



Alhamdullilah, kasihsalina ada banyak survey kat internet petua untuk melancarkan pertuturan anak supaya perkataannya jelas untuk untuk difahami & tidak pelat tutur katanya. Banyak yang mencadangkan membaca Surah Taha, Ayat 25-28 dan dihembus ke dalam mulut anak. Bukan itu saja, baca ayat 25 - 28 sebanyak 21 kali tiap-tiap hari selepas solat Subuh, untuk otak cerdas, akal yang sempurna, menguatkan daya ingatan dan menambah ilmu pengetahuan. Boleh juga dibawa bila menduduki peperiksaan, untuk temuduga dan majlis ceramah. Berusahalah kita selagi badan masih bernyawa untuk meleraikan kekusutan & menyelesaikan sesuatu persoalan.

Sumber: Infinity


Friday, January 6, 2012

Darjat Ibubapa Diangkat Apabila Anak Mendoakan Ibubapanya


Ya Allah, ampunilah aku dan kedua ibu bapaku serta kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mengasihani aku semasa aku masih kecil.

Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya : *Apabila seorang manusia mati terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, anak soleh yang mendoakan untuknya. (HR Muslim)


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.a. Rasulullah s.a.w.bersabda yang maksudnya : *Sesungguhnya seseorang itu diangkat darjatnya di dalam syurga, lalu dia berkata: *Dari manakah semua ini?* Maka dikatakan kepadanya: Dari anakmu yang memintakan ampun untukmu. (HR Ibnu Majah)
Insyallah, kasihsalina akan sentiasa mendoakan untuk ibubapa kami dan juga berharap anak-anak pula akan membuat benda yang sama. Semoga hidup kami semua diberkati Allah. 

Pertandingan Mewarna Adik & Kakak Sertai

Hari ni adik & kakak masuk pertandingan mewarna. Tapi biasalah main dengan anak-anak pra sekolah ni, mak pak plak yang kalut mewarn...