Tuesday, March 13, 2012

Lionel Messi Pemain Terhebat Sepanjang Zaman




Aku bukan tau sangat pasal bola sepak, tapi kalau sebut nama Lionel Messi...mustahil aku tak kenal. Apapun aku tak mau cerita banyak, sebab HB aku nak masukkan jugak artikel ni dalam blog aku..bagi mudah dia cari lagi lepas ni sebab artikel ni paling best cerita pasal Messi dan macam mana lagenda bola sepak seperti Pele boleh 'jeles' dengan Messi.

Sumber: Utusan 11 Mac 2012

DUA bulan lalu, legenda bola sepak Brazil, Pele diajukan soalan yang sama oleh ramai orang: "Adakah Lionel Messi lebih baik daripada anda?
Jawabnya ringkas: "Sukar untuk mengatakannya. Bila Messi berjaya menjaringkan 1,283 gol seperti saya, bila dia berjaya memenangi tiga Piala Dunia, baru kita boleh bercakap semula tentang perkara ini."
Ada dua cara untuk memahami jawapan legenda Brazil itu. Pertama, kalau kita mentafsir secara terus, kita akan menemui jawapan "Tidak".
Meskipun, Messi baru melakar rekod penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Eropah dan telah merangkul tiga anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA, dia masih belum boleh diangkat sebagai pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman.
Bagaimanapun, jika kita mengerti maksud tersirat, Pele mungkin cuba bercakap secara diplomatik dan berlapik.
Beliau adalah legenda yang dilahirkan oleh sebuah legasi atau institusi bola sepak terulung, iaitu Brazil.
Beliau telah dikelilingi pemain-pemain terbaik dunia yang datang dari Brazil, dalam kata lain, persekitaran bola sepak yang hebat di negaranya telah membentuk Pele menjadi seorang pemain yang unggul.
Sedangkan, Messi adalah bakat individu yang bukan dilahirkan oleh negaranya, Argentina. Dia berada pada tahap sekarang kerana dirinya sendiri, malah penyerang bertubuh kecil ini telah menghabiskan separuh daripada usianya jauh dari kampung halaman dan tanah air, selain jauh daripada sejarah bola sepak Argentina.
Menyingkap sejarah penglibatan Messi dalam arena bola sepak, dia memulakan karier zaman kanak-kanak bersama kelab tempatan, Newell's Old Boys pada 1995, iaitu seawal usia lapan tahun.
Bagaimanapun selepas lima tahun berada di akademi Old Boys, Messi dia telah mencuri perhatian gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona.
Jika dia tidak mempunyai bakat yang begitu besar atau luar biasa, tidak mungkin seorang kanak-kanak berusia 13 tahun sanggup diterbangkan dari Argentina oleh kelab sehebat Barcelona hanya kerana untuk ditempatkan di dalam akademi mereka.
Messi sebenarnya lahir dengan saiz badan yang agak terbantut dibandingkan kanak-kanak seusianya yang lain. Dia terlalu kecil untuk bermain bola sepak pada usia 13 tahun.
Apabila kedua ibu bapa serta kelabnya di Argentina tidak mampu lagi menampung perbelanjaan AS$1,000 (RM3,000) sebulan untuk menyediakan rawatan tumbesaran hormon kepadanya, Barcelona menyuarakan kesanggupan mereka.
Ketika itu, Barcelona hanya melihat bakat yang ada kepada pemain ini. Selama bertahun-tahun, mereka bukan saja membentuk Messi menjadi seorang lelaki, malah seorang pemain yang baik.
Messi dewasa dan membesar di akademi remaja terkenal Barca, La Masia.
Jadi, Messi tidak pernah bermain dengan mana-mana kelab di negaranya kerana dia menghabiskan sebahagian daripada kehidupannya di Sepanyol.
Namun, kerana bakat luar biasa yang ada pada pemain ini, biarpun tidak berada di depan mata panel jurulatih Argentina, dia tetap dipanggil untuk membuat penampilan sulung bersama skuad senior negaranya pada usia 18 tahun.
Dia meraih penghormatan setiap kali diberi cabaran. Messi membantu Argentina memenangi pingat emas Sukan Olimpik di Beijing pada 2008, namun nilai emas Olimpik memberi makna yang kecil bagi peminat bola sepak. Biarpun, tidak memiliki banyak kejayaan yang membanggakan bersama Argentina, namun dia telah memahat pelbagai gelaran hebat bersama Barcelona, kelab yang telah memberi 'kehidupan' kepadanya dan mendewasakannya.
Seandainya, Barcelona itu adalah sebuah negara, bayangkan berapa banyak kegemilangan yang telah diraih oleh Messi.
Dia bukan saja telah menjulang kejuaraan Eropah buat mereka, malah menambah koleksi Piala Kelab Dunia, La Liga, Piala Raja Sepanyol dan semua kejuaraan yang ditawarkan untuk direbut Barcelona.
Messi telah memenangi semua trofi yang boleh dimenangi oleh Barca, sama ada ia kejuaraan utama, sederhana mahupun kecil. Sejak menyertai kesebelasan utama pasukan pada 2004, dia telah menjulang tiga Piala Eropah, lima gelaran La Liga, dua Piala Super UEFA, dua Piala Kelab Dunia dan pelbagai kejuaraan lain. Tiada pemain atau kelab yang mampu memiliki sebegitu banyak trofi, seperti mana yang dilakukan oleh Messi dan Barcelona.
Kelicikannya di atas padang, keupayaan mengelirukan pemain lawan dengan skil mengelecek bola, menjadikan dia pemain yang amat digeruni lawan. Sebab itulah, biarpun Argentina gagal memberi impak besar pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan - menghuni tangga keempat, Messi masih layak ditabalkan sebagai Pemain Terbaik Dunia, kerana dia hebat disebabkan dirinya.
Keseluruhannya, Messi telah menjaringkan 212 gol daripada 295 penampilan bersama kelab dan skuad kebangsaan, itu tidak termasuk aksi persahabatan. Pemain lain yang boleh menyaingi Messi ketika ini adalah bintang Portugal dan Real Madrid, Cristiano Ronaldo. Dia bukan saja mampu menjadi peledak gol, tetapi juga memiliki keupayaan mencipta gerakan untuk gol, dan telah memberi bantuan kepada 76 gol dalam 295 perlawanan.
Messi pernah mengalahkan empat pertahanan Real Madrid dalam satu perlawanan, melakukan kuisan yang tidak diduga ketika menewaskan penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia, selain berlari dari tengah padang, mengalahkan satu pemain lawan, dan tiga yang lain, sebelum mengelirukan penjaga gol untuk mencipta jaringan ketika menentang Getafe pada 2007.
Dalam saingan Liga Juara-Juara baru-baru ini, Messi menyumbat lima gol untuk Barcelona menewaskan Bayer Leverkusen 7-1.
"Bila saya melihatnya, dia melakukan sekurang-kurangnya tiga atau empat perkara yang saya tidak boleh saya lakukan sepanjang karier saya dan dia melakukan hampir dalam setiap perlawanan,'' kata bekas bintang penyerang tersohor England, Gary Lineker.
Ramai legenda bola sepak Eropah menganggap Messi sebagai 'anugerah'. Dia masih boleh memberi persembahan maksimum biarpun dalam keadaan serba terhad akibat diikat dan dikawal ketat pemain-pemain lawan. Dia telah menjaringkan dua gol dalam final liga Juara-Juara Eropah, 13 gol daripada 17 pertemuan menentang Real Madrid.
Begitupun hari ini, banyak persoalan ditimbulkan mengapa Messi boleh bermain dengan menakjubkan bersama Barcelona, tetapi tidak mampu mengulangi perkara yang sama dengan Argentina. Politik bola sepak Argentina itu sendiri antara yang menjadi punca. Sejak Messi membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan, mereka telah bertukar terlalu ramai jurulatih, antaranya adalah Diego Maradona pada Piala Dunia 2010.
Setiap jurulatih menerap corak permainan berbeza dan memberi peranan berbeza kepada Messi, sedangkan di kelab, dia diberi kebebasan penuh untuk bermain dengan caranya sendiri. Lagipun, Argentina yang memiliki dua lagi penyerang bertaraf dunia, Carlos Tevez dan Sergio Aguero lebih banyak menggunakan Messi di sayap kanan, sekali gus memberi peluang minimum buatnya untuk mencipta jaringan.
Memang benar, Pele telah memenangi tiga Piala Dunia, namun dia memenanginya pada zaman ketika Piala Dunia adalah satu-satunya piala terbesar yang ditawarkan ketika itu. Hari ini, saingan liga amat panjang dan kompetitif, Liga Juara-Juara Eropah juga telah berkembang menjadi trofi terbesar untuk diburu bintang-bintang dunia.
"Setiap kali bermain video Play Station, dia (Messi) pasti akan berada dalam pasukan saya. Skill pemain ini sukar untuk dipercayai, dia memang bakat yang menakjubkan,'' kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger. - Agensi 



6 comments:

mama aini said...

ehem mama & en.hb tak berada minat sukan bola ni.hu2x..

Kasih Salina said...

biasa la tu mama..sy pun terikut2 dgn hubby coz dia memang minat football..

zati embong said...

messi dia terhutang budi dgn barca.jat rasa dia xkn g kelab lain da.hihi

Kasih Salina said...

zati ni pandai juga..betul tu, sejarah dia memang byk terhutang budi dengan Barca...

Kakzakie Purvit said...

Kakak pun tak kenal sangat pemain-pemain bola sepak handalan. Sekarang kan musim bola sepak mulalah disebut semua pemain yg handal-handal...

Kasih Salina said...

@kakzakie: yup..betol tu kak..sy pun x semua pemain football sy kenal..hihi..

Pertandingan Mewarna Adik & Kakak Sertai

Hari ni adik & kakak masuk pertandingan mewarna. Tapi biasalah main dengan anak-anak pra sekolah ni, mak pak plak yang kalut mewarn...