KUALA LUMPUR, - Serbuan dan rampasan buku berjudul
'Islam Liberty and Love' oleh seorang aktivis liberal, Irshad Manji,
tidak sepatutnya tertumpu di kedai buku sahaja sebaliknya pihak berkuasa
perlu menyerbu syarikat yang menerbitkannya.
Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil
Ibrahim berkata dengan cara itu sahaja boleh memastikan penerbitan dan
pengedaran buku aktivis wanita itu, yang secara terbuka mengaku lesbian
dan juga pendukung hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT),
dapat dihentikan.
"Memberi tempat atau ruang kepada Irshad Manji dengan membenarkan
program beliau di Malaysia dan melancarkan bukunya di sini adalah satu
tindakan yang kurang cerdik. Ini akan memecahbelahkan orang Islam
khususnya Melayu di negara ini.
"Buku tersebut sangat bercanggah dengan ajaran agama Islam dan ia akan
mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam sendiri serta memesongkan
akidah. Justeru amat wajar bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu syarikat yang menerbitkan
buku tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Zamil berkata beliau berharap JAKIM dan KDN mengambil langkah serius
bagi membendung penjualan buku itu supaya ia tidak terlepas kepada
rakyat khususnya orang Islam.
"Mungkin ada sesetengah kedai buku tidak tahu mengenai isi kandungan
buku ini, tetapi dengan tindakan tegas JAKIM dan KDN, saya percaya buku
itu akan dapat dihapuskan daripada pasaran dengan secepat mungkin,"
katanya.
Jumaat lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom dilapor berkata bahawa kerajaan menerima banyak bantahan orang
ramai terutama daripada kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),
individu serta parti politik berhubung ura-ura seorang aktivis Islam
liberal, Irshad Manji mengadakan program di Malaysia.
Katanya kajian JAKIM mendapati Irshad Manji adalah seorang berfahaman
liberalisme, pluralisme dan feminisme dan aktivis wanita itu yang secara
terbuka mengaku lesbian dan juga pendukung LGBT.
Jamil Khir berkata Irshad Manji pernah mengarang buku yang menimbulkan
kemarahan umat Islam di seluruh dunia yang berjudul 'The Problem With
Islam Today' yang mengandungi idealisme yang sama dengan Salman Rushdie,
penulis novel 'The Satanic Verses".
Beliau berkata Malaysia bersama-sama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC) menolak orientasi seksual yang mendukung golongan LGBT sebagaimana
yang ditegaskan dalam Persidangan Sesi ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia,
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Mac 2012 di Geneva,
Switzerland.
-- BERNAMA
3 comments:
kalu serbu pon org bleh dpt kn kt tmpt lain.. mcm buku salman rushdie: the satanic verses tu...
Macamana buku camni boleh terlepas kat M'sia....
ehem banyak sgt buku2 yg tak sepatutnya terlepas jual dimalaysia?..hu2x..
Post a Comment